WAWANCARA | Menteri di Jabatan Perdana Menteri, VK Liew berkata antara tugas pertama beliau selepas memegang jawatan itu adalah memastikan pelantikan ketua hakim negara dan hakim tertinggi lain dilaksanakan mengikut peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, menteri undang-undang itu berkata beliau tidak mahu melihat pelantikan kontroversi Tan Sri Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan hakim Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden Mahkamah Rayuan, berulang sekali lagi.

"(Jika anda mematuhi perlembagaan) maka anda tidak boleh buat salah dan menjadi bahan ketawa di negara ini. Kami akan menggunakan kuasa pentadbiran untuk memperbetulkan beberapa keadaan tertentu (bagi memastikan ini tidak berulang).

"Segala-galanya perlu dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya ketika ditanya bagaimana untuk mencegah pelantikan seumpama itu daripada berulang.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan hakim-hakim tertinggi perlu bersara selepas mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

Khidmat Md Raus sebagai presiden Mahkamah Rayuan sebelum ini dilanjutkan selama enam bulan dari 4 Februari ke 3 Ogos tahun lalu.

Pada tempoh sama, beliau dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru pada 1 April tahun dan mengangkat sumpah ke jawatan itu pada Ogos tahun yang sama.

Zulkefli yang juga presiden Mahkamah Rayuan turut dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun bermula pada 28 September tahun itu. 

Ini kerana Perkara 122 (1A) perlembagaan persekutuan menetapkan hakim tambahan, tidak mempunyai had umur yang dikenakan terhadap mereka.

[Baca wawancara penuh]