Ketua Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN), Zuraida Kamaruddin berkata gabungan itu tidak memungkiri janji untuk memastikan 30 peratus wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan.

Mengakui hasrat itu tidak dapat dicapai pada masa ini, Zuraida berkata komitmen untuk memperkasakan wanita masih menjadi keutamaan HARAPAN.

"Komitmen kami agar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam semua jawatan pembuat keputusan masih menjadi keutamaan.

"Wanita Keadilan (PKR) membuat pendirian ini pada 2008, dan kini dengan sokongan penuh semua sayap wanita dalam Pakatan Harapan, kami percaya bahawa suatu hari nanti kami akan dapat mencapai matlamat ini," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida menjawab ulasan seorang penulis, Zan Azlee, yang mendakwa pemimpin wanita HARAPAN kelihatan seperti 'mulut sudah terkunci' sejak gabungan itu memenangi pilihan raya umum lalu.

"Memang betul kita tidak dapat memperoleh 30 peratus dalam jawatan di peringkat negeri, Parlimen dan jawatan menteri.

"Bagaimanapun, apa yang kita ada sekarang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana terdapat lebih banyak wanita dalam kabinet sejak penubuhan negara kita," katanya.

Dengan memiliki enam jawatan menteri penuh dalam kabinet dan empat timbalan menteri, Zuraida berkata pencapaian tersebut sepatutnya disambut baik dan bukan diperkecilkan.

"Bagi saya secara peribadi, ini bukan kegagalan kerana ia akan menjadi platform untuk mempromosikan keterangkuman dalam pentadbiran Malaysia.

"Untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, kami juga akan menganjurkan program terutamanya untuk wanita muda dan wanita untuk dijadikan pemimpin masa depan," tegasnya.