BERITA

Kes Zakir Naik: PAS ucap tahniah pada Dr M

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jul 2018, 2:56 tengahari

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak menghantar pulang pendakwah kontroversi Zakir Naik bagi berdepan dengan tuduhan yang didakwa sebagai "rekaan kerajaan India".

Tuan Ibrahim dalam suatu kenyataan berkata keputusan untuk tidak menghantar pulang Zakir selaras dengan tugas kerajaan Malaysia untuk mempertahankannya kerana status beliau sebagai pemastautin tetap.

"PAS merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin tetap dari dihantar kembali ke India bagi menghadapi pelbagai tuduhan rekaan kerajaan India.

"Kenyataan tegas perdana menteri mempertahankan beliau, adalah satu langkah tepat selaras dengan dasar Islam melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganyanyaan dan kezaliman di mana sahaja," katanya.

Tuan Ibrahim menjelaskan pendiran PAS menyokong tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan dan menentang kemungkaran dan perpecahan.

Konsep At-taawun

"Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera dan konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti.

Semalam Mahathir menyatakan kerajaan Pakatan Harapan tiada rancangan untuk menghantar pulang pendakwah berkenaan ke India selagi beliau tidak membuat sebarang masalah di sini.

Perdana menteri mengulas laporan media di India bahawa Kementerian Luar India telah mengesahkan permohonan ektradisi rasmi telah dibuat kepada Malaysia bagi membawa pulang Zakir.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy tidak begitu senang dengan kenyataan Mahathir berkata Malaysia mesti menghormati perjanjian ekstradisi yang ditandatangani dengan India pada tahun 2010.

Menurut Ramasamy ini terutama sekali memandangkan tuduhan serius yang dibuat terhadap Zakir di negara asalnya mengenai pengubahan wang haram, menghasut ketidakharmonian masyarakat dan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Asri pula ucap tahniah pada PAS

Beliau juga mempersoalkan reaksi Malaysia sekiranya India menolak untuk mengusir mana-mana individu yang dicari oleh kerajaan di sini.

Manakala itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat hantaran di Facebook berterima kasih kepada PAS kerana menyokong Mahathir.

"Saya pula ingin mengucapkan tahniah kepada PAS. Semoga Allah merahmati kita semua umat Islam. Semoga Allah membimbing kita semua. Semoga Allah mengeratkan ukhuwah antara kita Umat Islam. Sama-sama kita mempertahankan golongan yang dizalimi," catat beliau.

Video ceramah Zakir mencetuskan kontroversi di beberapa negara, termasuk Malaysia, India dan di United Kingdom beliau telah dilarang masuk.

Di Malaysia, rancangan Zakir untuk mengadakan perbincangan perbandingan agama Islam dan Hindu pada 2016 pada awalnya diharamkan berikutan bantahan awam.

Pemastautin tetap

Pada masa itu, kerajaan pimpinan BN telah merumuskan selepas siasatan, bahawa pendakwah yang diburu itu tidak pernah mempromosikan keganasan.

Walaupun begitu, menteri dalam negeri ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berkata Zakir akan diekstradisi ke India sekiranya ada permintaan daripada kerajaan itu.

Dilaporkan Zakir mendapat status pemastautin tetap Malaysia pada tahun 2012.

Mahkamah telah menolak tindakan saman yang diambil beberapa aktivis, yang diketuai oleh P Waythamoorthy daripada NGO Hindraf dan 18 yang lain, terdiri daripada ahli politik, peguam dan ahli badan bukan kerajaan.

Mereka memohon mahkamah untuk mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman terhadap keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.