Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akaun Umno Pekan untuk derma jamin Najib dibeku
Diterbitkan:  Jul 7, 2018 10:10 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Sebuah akaun bank yang dibuka Umno Pekan untuk membantu membayar wang ikat jamin ketua bahagiannya dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan telah dibekukan.

Ketua Wanita Umno Pekan, Zalmah Abdul Rahman berkata, beliau hanya mengetahui pembekuan akaun tersebut pagi ini.

"Ini (pembekuan akaun) hanya di Pekan, saya tidak tahu mengenai tempat lain, tetapi akaun ini dibuka oleh Umno Bahagian Pekan," Zalmah dipetik sebagai berkata oleh Malay Mail.

Walau bagaimanapun, tabung derma Najib yang diikhtiarkan bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii masih beroperasi.

Razlan memberitahu Malaysiakini jumlah sumbangan terbaru yang diterima hanya boleh diperiksa pada hari Isnin ini.

Setakat jam 5 petang semalam, dana itu telah mengumpul derma berjumlah RM223,908.

Derma itu bertujuan membantu Najib membayar wang ikat jamin berjumlah RM1 juta pada hari Isnin.

Najib telah membayar ansuran pertama RM500,000 pada hari Rabu lalu selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Lihat Komen
ADS