Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Rakyat Bersatu (UPP) memutuskan untuk menamatkan persefahaman dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan melakukan penjenamaan semula dengan nama dan logo baharu dalam masa enam bulan untuk mencorakkan masa depan yang baharu.

Ketika bercakap pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan parti di Sibu hari ini, setiausaha agungnya George Lo berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan penjenamaan semula untuk memilih nama dan logo baharu.

"Pasukan petugas majlis presiden akan terdiri daripada lima ADUN – Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) selaku Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Tiong Thai King (Dudong), Datuk Ranum Mina (Opar), Johnical Rayong Nyipa (Engkilili) dan saya sendiri," kata beliau.

Persidangan perwakilan khas akan diadakan dalam masa enam bulan untuk membuat pindaan pada perlembagaan parti.

“Kami adalah parti berbilang kaum dan daripada lima ADUN, dua ialah wakil dari kaum Cina dan tiga masyarakat Bumiputera. Justeru, penjenamaan semula parti akan memberi penekanan kepada sifat berbilang kaum dan beralih daripada konsep bahawa kami adalah parti berasaskan kaum Cina," kata Lo.

Beliau berkata parti itu akan kekal sebagai parti bebas kerana belum menerima jemputan rasmi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Open untuk menyertai gabungan tersebut.

UPP berikrar akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai semua perkara yang menyentuh Sarawak.

Sebelum Pilihan Raya Umum 9 Mei, SUPP dan UPP menjalin memorandum persefahaman yang dimulakan oleh Abang Johari untuk membolehkan kedua-dua pihak meneroka cara untuk bersatu sebagai satu entiti bagi mewakili kepentingan kaum Cina dalam semangat Barisan Nasional (BN).

- Bernama

Lihat Komen
ADS