Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik Datuk Liew Vui Keong menggesa pembangkang memainkan peranan semak dan imbang berkesan kepada kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ini kerana, katanya, pembangkang mempunyai peranan yang lebih besar dalam soal perundangan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, menteri hal-ehwal parlimen itu berkata, menarik untuk melihat bagaimana anggota parlimen pembangkang hadir dalam Dewan Rakyat 16 Julai ini.

"Kita mahu mereka memainkan peranan berkesan sebagai anggota parlimen dalam menyemak dan imbang kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, Liew yang juga merupakan anggota parlimen Batu Sapi menyatakan kebimbangan jika kelemahan pentadbiran kerajaan sebelum ini akan menjejaskan kemampuan mereka untuk melakukan hal itu.

"Saya tidak mahu mereka hanya datang berdiri dan tidak memberikan banyak sumbangan kepada kerajaan, (dengan menyemak) dasar kerajaan yang ada hari ini," katanya.

Dalam manifesto yang diumumkan 8 Mac lalu, HARAPAN berikrar memberikan peranan lebih besar kepada pembangkang, termasuklah memberikan pembangkang jawatan menteri bagi agenda pembangkang serta melantik anggota parlimen pembangkang sebagai Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).

Di Selangor, kerajaan negeri telah meluluskan undang- undang bagi membolehkan pemimpin pembangkang mempengerusikan PAC, sementara HARAPAN di Pulau Pinang berikrar untuk mengkhususkan jawatan pengerusi PAC kepada pembangkang.

Liew, merupakan pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang bukan secara rasmi di bawah HARAPAN, kelihatan sedikit keberatan dengan perkara itu.

"PAC mempunyai kuasa yang agak besar. Kita tengok nanti macam mana," kata pengerusi tetap WARISAN itu.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa bagi memantau setiap kementerian, seperti dijanjikan HARAPAN sebelum ini.

Setiap jawatankuasa akan diberi kuasa untuk memanggil menteri dan pegawai kanan untuk memberi keterangan.

"Sangat baik jika anggota parlimen pembangkang juga dapat mempengerusikan jawatankuasa ini," katanya.

Sebelum menyertai WARISAN pada Mac tahun ini, Liew, 58, merupakan pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP), parti yang sebelumnya merupakan parti komponen BN. Beliau menyertai parti itu pada 1991 dan menjadi presiden pada 2006 hingga 2014.

Liew dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009 hingga 2013. Beliau gagal mempertahankan kerusi parlimen Sandakan yang disandangnya pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Liew pernah memuji bekas speaker Dewan rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menubuhkan dewan khas bagi membahaskan isu-isu tempatan.

Beliau juga bersetuju memberi ruang mengajukan soalan kepada kementerian memandangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinetnya bersetuju untuk menjawab soalan daripada anggota parlimen pembangkang dan HARAPAN di dalam dewan.

Dewan Negara yang berkesan

Jelas Liew, parti politik perlu berhati-hati dalam memilih senator bagi memastikan mereka yang memiliki kepakaran tertentu dilantik memegang jawatan itu.

"Seperti di England, mereka mempunyai House of Lords yang berkhidmat untuk negara dan parti, anggotanya mempunyai pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang dan mereka boleh menyumbang dengan berkesan.

"Saya mengharapkan perkara yang sama di negara ini, kita mahu anggota Dewan negara berkhidmat untuk negara dengan berkesan dalam tugas masing-masing, dan bukan sekadar meluluskan sesuatu undang-undang," katanya.

Liew tidak bersetuju senator yang dilantik tidak mempunyai kecenderungan politik.

"Suka atau tidak, semua yang dilantik adalah melalui lantikan politik. Tidak dapat dibayangkan apabila kerajaan melantik pemimpin yang tidak setia kepada parti.

"Tapi setia bukan pertimbangan utama, kita juga melihat pada merit individu itu," katanya.

Liew juga berkata beliau akan meneliti keperluan meningkatkan jumlah senator yang dicalonkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan suara semua rakyat dapat didengar.

Dewan Negara, yang terdiri daripada 70 senator dengan 26 daripada jumlah itu dilantik oleh dewan undangan negeri dan selebihnya dilantik Yang Di-Pertuan Agong.

Setakat ini, Dewan Negara hanya mempunyai 49 anggota - 40 daripadanya adalah pemimpin BN, sembilan yang lain adalah wakil NGO, HARAPAN, dan PAS.

Ruang kepada media

Di samping itu, Liew turut menyatakan tidak bersetuju keputusan dewan pada Mac 2017 untuk menghalang wartawan berada di lobi parlimen.

Speaker ketika itu, Pandikar yang mendakwa beliau dan anggota parlimen lain tidak selesa dengan kehadiran wartawan di lobi mengehadkan kawasan untuk media di tingkat bawah lobi.

Mengulas perkara itu, Liew berkata beliau akan meneliti kemungkinan untuk memperuntukkan sebahagian kawasan lobi kepada pengamal media.

"Saya akan meneliti perkara ini, saya boleh beri jaminan media akan diberi ruang yang cukup dan anggota parlimen perlu menjawab soalan media dalam pelbagai isu yang dibangkitkan di dalam dewan.

"Wartawan mempunyai hak untuk membuat liputan, kita tidak boleh halang," katanya.

Selain itu, Liew menambah beliau akan berbincang dengan beberapa wakil media bagi menetapkan jumlah wartawan yang diperlukan dalam liputan parlimen.

Sebelum ini, setiap media hanya dibenarkan menghantar tiga petugas.

"Biar kita bincang sama-sama untuk situasi-menang-menang," katanya.

Lihat Komen
ADS