Ngeh: Konflik speaker Perak tak akan pecah-belahkan HARAPAN
Speaker baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh koo Ham yakin perbezaan pandangan berhubung pelantikannya tidak akan memecahbelahkan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri itu.
Beliau berkata, perbezaan seumpama itu "biasa dalam gabungan yang sama rata", dan tidak perlu menjadi punca pergolakan kerana ia ditangani secara matang.
"Dalam HARAPAN, kedudukan kita (parti komponen) sama rata. Perbezaan pandangan akan sentiasa berlaku, tetapi kami akan membincangkannya dengan semangat kekeluargaan," katanya dalam wawancara bersama Malay Mail.
Ia susulan kenyataan Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail bahawa beliau "ditekan" oleh bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin agar menarik diri daripada pencalonan jawatan speaker DUN.
Dalam hantaran di Facebook minggu lalu, Siti Aishah berkata PKR telah meminta DAP memberi laluan kepadanya kerana parti itu sudah pun mendapat lima daripada 11 jawatan exco. DAP bagaimanapun enggan berbuat demikian.
Siti Aishah kemudian memadamkan hantaran itu, dan Nizar memohon maaf atas salah faham berlaku.
Dalam wawancara itu lagi, Ngeh enggan terheret ke dalam kontroversi itu, sebaliknya menegaskan perbezaan pandangan merupakan perkara biasa.
Anggota parlimen Beruas itu juga berkata, kedudukan sama rata di kalangan parti komponen HARAPAN menjamin semak dan imbang dalam gabungan itu - lebih baik berbanding BN.
"Pada masa lalu, ada satu abang besar (dalam BN). Umno akan menentukan semuanya dan yang lain hanya mengikut. Ia antara satu sebab mengapa rakyat menolak parti komponen (BN).
"Orang ramai perlu gembira kerana kami ada semak dan imbang dalaman. Ini akan menjadi perkara biasa dan perbezaan (pandangan) bukan suatu yang memecahbelahkan," katanya lagi.
Beliau juga berkata perancangan awal memang untuknya kekal di Perak - dan bukan dilantik di peringkat persekutuan - dan bersaing untuk jawatan speaker.
Siti Aishah akan dilantik sebagai penasihat khas kepada menteri besar Ahmad Faizal Azumu.
Ia merupakan lantikan kedua untuk jawatan itu selepas ADUN Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin.

