Kematian Beng Hock: Keluarga mohon tubuh pasukan petugas khas
Keluarga mendiang Teoh Beng Hock berharap pasukan petugas khas siasatan jenayah akan ditubuhkan bagi membantu siasatan baru ke atas kematian bekas pembantu anggota parlimen DAP itu.
"Kami harap polis akan menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk menyiasat kes ini dari sudut jenayah. Kami harap ia pasuka petugas khas bebas dan turut disertai Majlis Peguam serta Suruhanjaya Hak Asasi manusia (Suhakam)," kata adik Beng Hock, Teoh Lee Lan.
Jelasnya, dia diberi jaminan oleh peguam keluarga mereka, Ramkarpal Singh, bahawa Thomas sudah memberi persetujuan lisan untuk berjumpa mereka. Lee Lan juga menambah permohonan bertulis akan diserahkan esok.
20 Jun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kabinet bersetuju untuk membuka semula siasatan ke kematian Beng Hock.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat sembilan bangunan yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam. Beng Hock berada di sana untuk disoal siasat.
Mendiang merupakan pembantu politik ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.
Suruhanjaya siasatan diraja yang menyiasat kes itu sebelum ini menggambarkan tiga pegawai SPRM terbabit dalam kematian Beng Hock.
Bagaimanapun, bekas pengarah siasatan SPRM Selangor, pembantu pegawai penguat kuasa Arman Alies dan pembantu supreintenden Mohd Ashraf Mohd Yunus, dibersihkan dari sebarang salah laku.
Ditanya sama ada kerajaan baru akan mengambil tindakan ke atas tiga individu itu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata dia akan membangkitkan perkara itu kepada peguam negara dan Menteri Multimedia dan Komunikasi Gobond Singh Deo untuk dibincangkan kabinet.
Teo dan Gobind merupakan peguam keluarga mendiang Beng Hock.
Keluarga mendiang Beng Hock berjumpa dengan Teo di majlis peringatan Beng Hock di Nirvana Memorial Park, di Semenyih, hari ini.
Tahun ini merupakan ulang tahun kesembilan kematian Beng Hock. Pemimpin DAP dan keluarga mendiang Beng Hock hadir seawal 9 pagi tadi.
Antara pemimpin DAP yang hadir adalah Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah, Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ramkarpal, Sanjeet Kaur Deo, ADUN Balakong Eddie Ng Tien Chee, ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADUN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong dan beberapa yang lain.
Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan turut hadir. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hadir lewat namun sempat menyertai sidang media.
Lim dalam ucapannya berkata hari ini berbeza dengan era sebelumnya kerana untuk pertama kali wakil kerajaan persekutuan menghadiri peringatan Beng Hock itu.
Lim turut menegaskan bahawa Beng Hock tidak dilupakan dan Pakatan Harapan akan mencari keadilan untuk mendiang.

