Berita Malaysiakini

Yadim: Cadangan tutup sekolah tahfiz terlalu radikal

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup sekolah tahfiz disifatkan terlalu radikal.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr Yusri Mohamad berkata pihaknya tidak bersetuju dengan saranan itu malah tafsiran jumud itu yang diberikan Zainuddin langsung tidak bertepatan dengan perkembangan semasa sekolah tahfiz seluruh negara.

“Saranan itu terlalu radikal. Sekolah tahfiz sekarang tidak sama dengan dahulu yang berjaya melahirkan pelajar berkemampuan dalam semua bidang pekerjaan.

“Tidak boleh buat kenyataan begitu (jumud) dan tidak seharusnya menghukum keseluruhan pelajar tahfiz jumud hanya kerana segelintir bersikap demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Terbuka Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang turut dihadiri Pengarah YADIM Kelantan Mahadi Awang di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Majlis itu turut dimuatkan dengan sesi perbincangan meja bulat anggota jawatankuasa Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Kelantan berhubung isu dan masalah semasa negeri ini.

Yusri berkata sekolah tahfiz telah lama bertapak di negara ini dan sebarang kekurangan yang wujud dalam institusi berkenaan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dan bukannya dengan mengambil tindakan drastik menutup institusi berkenaan.

“Perkara ini perlu dirujuk kepada orang yang ‘ahli’ dalam bidang ini termasuk Kementerian Pendidikan bahagian Pendidikan Islam dan pakar akademik. Ini bukan bidang dia (Zainuddin),” katanya.

Zainuddin dalam blognya semalam meminta Mujahid menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada ‘amalan agama jumud’.

Beliau yang dikenali sebagai Zam dalam blognya turut mendakwa sekolah tahfiz di negara ini tidak memberi harapan kepada masa hadapan generasi baharu Islam.

- Bernama