Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Sungai Kandis pada Sabtu, 4 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, mesyuarat khas yang diadakan hari ini juga menetapkan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon.

Beliau berkata, sebanyak 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini pada 2 Julai lalu.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya dalam sidang akhbar PRK DUN Sungai Kandis di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, SPR juga, katanya, akan mewujudkan dua saluran untuk pengundi yang berumur 60 tahun ke atas, dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai.

“Sebanyak 21 saluran baharu diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei,” katanya.

Othman berkata penambahbaikan ini berdasarkan maklum balas yang diterima SPR pada PRU14 dan akan diteruskan jika mendapat sambutan positif.

Selain itu pada PRK ini SPR juga menawarkan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau badan yang memenuhi syarat dan berminat untuk menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses pilihan raya bermula hari penamaan calon sehingga keputusan PRK diumumkan.

Menurut Othman, tiada pengundi awal bagi PRK Sungai Kandis, manakala urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini dan ditutup pada 21 Julai.

Beliau berkata Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau turut mengumumkan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dilantik sebagai pegawai pengurus PRK Sungai Kandis dengan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus dan 865 orang petugas yang dilantik dalam kalangan orang awam.

Tambah beliau, PRK Sungai Kandis dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi Isnin lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.