Kumpulan pertama empat remaja lelaki yang berjaya dibawa keluar dari gua Tham Luang dalam satu operasi menyelamat pada Ahad dilaporkan berada dalam keadaan sihat manakala satu pemeriksaan menyeluruh sedang dirancang untuk mereka semua, lapor Agensi Berita Thailand (TNA) memetik kenyataan Menteri Kesihatan Awam, Piyasakol Sakolsatayadorn.

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Jessada Chokdamrongsuk, pada pagi Isnin telah bertemu dengan ketua kesihatan awam wilayah untuk membuat susulan berhubung penilaian ke atas kesihatan remaja lelaki terbabit selepas mereka tiba di hospital.

Mereka kini dirawat di bilik steril berasingan di Hospital Chiangrai Prachanukroh.

Ujian makmal akan dijalankan bagi pemeriksaan kesihatan terperinci sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan kerana mereka mungkin berdepan risiko dijangkiti penyakit yang dikaitkan dengan gua.

Sejumlah 13 penyelam gua antarabangsa dan lima anggota Tentera Laut Thailand dari unit SEAL berada dalam pasukan yang membawa kesemua remaja keluar.

Kira-kira 90 penyelam terlibat dalam operasi menyelamat.

- Bernama