Operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bermula pada awal tahun ini akan diteruskan, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.
"Operasi penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam memutuskan rantaian kesalahan, termasuk bersama agensi penguatkuasaan yang lain.
"Tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan yang masih berdegil menggaji atau melindungi PATI," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 Julai lalu, beberapa kawasan lokasi digempur jabatan itu, dalam operasi yang diberi nama Ops Mega 3.0 yang dijalankan di Jakel Mall, di Jakel Square, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Menurut Mustafar, bermula 1 Januari sehingga ke 6 Julai 2018 lalu, jabatan imigresen telah menjalankan sebanyak 7,477 operasi, memeriksa 91,650 warga asing serta menahan 22,126 PATI dan 585 majikan.
Tangkapan tertinggi warga Indonesia
"Sepanjang tempoh bermula 1 Januari 2018 sehingga 7 Julai 2018 Jabatan Imigresen Malaysia telah mengadakan sebanyak 7,477 Operasi Penguatkuasaan di seluruh Negara.
"Seramai 91,650 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 22,126 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
"Selain itu 585 majikan turut ditahan sepanjang tempoh ini," katanya.
Menurut Mustafar daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 7,327 orang diikuti oleh warga Bangladesh seramai 4,483 Filipina seramai 2,237, Myanmar seramai 2,188 dan bakinya adalah dari negara-negara lain.
