Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekalkan hukuman mati pada perogol pelajar
Diterbitkan:  Jul 9, 2018 6:54 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

GLOBAL | Mahkamah Agung India mengekalkan hukuman mati ke atas sekumpulan perogol yang didapati bersalah memperkosa beramai-ramai seorang perempuan dalam bas pada 2012.

Mereka dituduh merogol seorang pelajar fisioterapi berusia 23 tahun semasa mangsa menaiki bas berkenaan.

Mangsa diserang dan dirogol beramai-ramai dalam bas yang bergerak sebelum dicampak keluar.

Ketua panel tiga hakim yang bersidang hari ini, Dipak Misra, berkata tidak ada apa-apa yang perlu dikaji semula dalam rayuan dikemukakan tertuduh itu.

Bapa mangsa, Badrinath Singh, pula lega dengan ketetapan hakim dan gembira kerana "keadilan akhirnya ditegakkan" dalam kes anaknya.

"Mahkamah mengambil masa setahun untuk mengkaji semula rayuan berkenaan. Bagaimanapun saya gembira kerana anak saya mendapat pembelaan dan keadilan akhirnya ditegakkan," katanya seperti dipetik Aljazeera hari ini.

Siasatan polis ekoran kejadian itu membawa kepada penangkapan enam lelaki.

Daripada semua suspek itu, seorang membunuh diri semasa ditahan dalam penjara pada 2013, manakala seorang lagi - pesalah juvana - dihukum penjara tiga tahun. Dia dibebaskan pada 2015.

Kini tinggal empat tertuduh yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati berkenaan.

Kes rogol itu mencetuskan kemarahan ramai, termasuk di seluruh dunia kerana mendedahkan bagaimana wanita terus terancam oleh serangan seksual.

Data Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India menunjukkan pada 2016 jenayah rogol di negara ini meningkat lebih 82 peratus berbanding 2015 dengan hampir 35,000 kes dilaporkan kepada polis.

Lihat Komen
ADS