Lelaki ditahan bantu siasatan 30 rumah terbakar di Lahad Datu
Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran yang memusnahkan 30 rumah setinggan di Kampung Pulau Sharip Simunul dekat Lahad Datu, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, ASP Mohd Fadzil Ali berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di kediamannya di kampung tersebut selepas polis menerima laporan daripada orang awam.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek dilihat bergaduh dengan adik lelakinya dipercayai berpunca daripada keengganan adiknya memberikan wang untuk membeli syabu.
"Selepas bergaduh suspek dikatakan telah beredar dari tempat kejadian dan menuju ke arah rumah emaknya di kampung sama, sebelum kembali membawa satu botol Coca Cola 1.5 liter dipercayai berisi bahan bakar jenis petrol, sebelum cuba membakar rumah jirannya.
Namun menurut Fadzil, suspek kemudian bertindak memasuki dan membakar kediamannya sendiri sehingga api dilihat merebak ke kediaman lain.
"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu telah bergegas ke rumah suspek bersama seorang penduduk dan mendapati suspek berada di tapak rumahnya yang terbakar itu dalam keadaan mabuk," katanya.
Fadzil berkata, suspek telah dibawa ke hospital untuk rawatan akibat melecur 32 peratus pada bahagian muka termasuk anggota badan depan dan belakang, tangan serta kaki.
"Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum ini Bernama melaporkan pihak bomba berkata 50 rumah terbakar bagaimanapun jumlah sebenar rumah yang musnah adalah 30 rumah dan melibatkan kira-kira 120 mangsa.
- Bernama

