Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi: Pembangkang dulu tolak akta dana politik

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan BN sebelum ini berhasrat untuk menggubal rang undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik namun ditentang pembangkang ketika itu.

Bagaimanapun, Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pihaknya menyambut baik sebarang cadangan untuk menggubal rang undang-undang berkenaan.

Ini kerana, menurutnya ia dapat memberi mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa tiada apa yang perlu disorokkan berhubung dana politik.

"Kita dah lama nak gubal akta tersebut tapi dapat tentangan dari pihak parti-parti sekarang yang jadi pemerintah.

"Kami harus bersifat telus. Mana-mana sumbangan politik akan memberi isyarat dan mesej yang jelas tak ada apa yang perlu kita sorokkan dan bukan perkara baru sebab ia diamalkan di negara maju.

'Akaun beku tak lumpuh Umno'

"Akta tersebut amat relevan untuk pastikan tiada sangkaan buruk terhadap sumbangan parti politik," katanya pada sidang media di ibu negara petang tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang pembiayaan dana politik.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Asyraf berkata walaupun akaun beberapa bahagian serta pemimpin Umno dibekukan, namun ia tidak melumpuhkan parti Melayu itu.

Menurut ketua pemuda Umno yang baru itu, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membekukan akaun parti dan pemimpin-pemimpin Umno tidak membantutkan kemaraan mereka sebagai parti pembangkang.

"Jangan ingat mereka (kerajaan) bekukan akaun kita, Umno akan lumpuh.

"Sebaliknya apabila kita ditekan, semangat akar umbi Umno semakin membara, mereka bertambah 'garang' untuk berjuang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS