'Tiada tempat untuk LGBT di Malaysia'
ULASAN | Sejak kebelakangan ini, isu LGBT semakin hangat diperkatakan, menjadi kegusaran yang meniti dibibir 'makcik-pakcik bawang' dan di muka buku para 'keyboard warrior' yang ada sebahagiannya benar gusar, perihal ini semakin meruncing sedang sebilangan yang lain menjadikan ianya salah satu 'alat politik' menghangatkan rencam keterbukaan Malaysia baru.
Setiap kelompok samada yang mempertahankan LGBT atau yang membantah ditambah lagi yang bermotifkan politik dengan sifat 'cuba, test, try' jelas terkelihatan pada hemat saya menduga antara satu sama lain tanpa memikirkan natijah tingkah mereka.
Apatah lagi pengakhiran yang akan diambil adalah meletakkan label di dahi seseorang itu dengan cop 'liberal, songsang, ekstrimis, rasis, homophobic' dan bermacam lagi gelaran, yang secara tak langsung bagi yang beragenda politik pula akan berterusan menduga tanpa sedar ianya mampu mencetuskan ketegangan.
Dalam isu (LGBT) ini, kita perlu memandang dua aspek tanpa prejudis, iaitu hak asasi manusia bagi penganut LGBT manakala yang kedua ialah teras umum terkait dengan Perlembagaan (juga perspektif Rukun Negara selaku tunjang dan asas).
Bersikap menghukum
Malah selaku umat Islam, saya juga akan menyentuh pendangan agama (Islam) yang turut menjadi sendi negara pusaka ini.
Dari aspek kemanusiaan, apatah lagi di zaman 'canggih'-nya pemikiran manusia kini, sememangnya setiap dari kita punyai hak dari mengkritik atau mengecam sebegitu juga menyokong, dan seharusnya ini tidak menjadi pertikaian, kerana lumrah pemikiran 'canggih'. (Maka prejudis juga satu 'hak' bukan? Sebegitu juga untuk tidak prejudis)
Maka benar apabila dikatakan bahawa terkait hak selaku individu, sang penganut LGBT punyai segenap hak untuk mempertahankan kecenderungan mereka, sebegitu juga ada kebenarannya apabila terdapat pihak yang mengatakan perihal ini (LGBT) adalah antara dia dengan Allah.
Dari segi kemanusiaan kita perlu memahami dan memberikan ruang atas kecenderungan kelompok ini tanpa bersikap menghukum.
Kenapa kita perlu menghukum? Dengan herdikan dan tohmahan yang sememangnya akan menjarakkan kelompok LGBT ini apatah lagi dari nilai keagamaan?

Kebanyakan mereka dari pengamatan dan penilaian saya adalah orang yang bijak pandai rata-ratanya namun mungkin sedikit terkeliru ataupun punyai gagasan pemikiran tersendiri yang jauh dari mana-mana pandangan agama khususnya Islam (dalam konteks Malaysia/ Muslim).
Namun sikap masyarakat khususnya umat Islam itu sendiri, dengan caci-makinya adakah mampu menyelesaikan masalah ini? Malah mempersoalkan sebilangannya kenapa perlu berkawan dengan orang sebegini. Ini adalah kenyataan yang tidak memandang konteks yang lebih luas.
Mufti Wilayah Persekutuan, sahibus samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, suatu ketika viral di media sosial menggunakan pendekatan mendekati kelompok transgender tanpa menghakimi mereka.
Apa mampu dicungkil dari tingkah ini adalah kerana pemikiran luas beliau dan hasrat 'dakwah' sebagai salah satu konteks yang ingin beliau terapkan kerana sekiranya kita bersikap keras pada kelompok ini, semestinya mereka akan menjauhi dan mampu menjadi fitnah kepada agama Islam atas kekeliruan mereka dari segi ilmu mahupun 'psikologi'.

Usai bicara perihal hak individu, kita masuk dalam aspek kenegaraan. Ini perlu difahami oleh pendokong LGBT dan seluruh warga Malaysia tak kira kaum atau agama, yang sewajarnya mengambil langkah secara beserdehana dan dalam konteks Malaysia sepertimana penulisan saya yang seringkali saya tekankan adalah keperluan memeluk erat asas penubuhan Malaysia iaitu Rukun Negara yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam aspek kenegaraan, sesungguhnya, tiada tempat untuk LGBT di negara Malaysia ini!
Ini kerana Malaysia dibangunkan atas asas yang kukuh yang memelihara kemurnian agama Islam khususnya selaku agama persekutuan. Kelestarian agama Islam ini turut disulam dengan asas pertama Rukun Negara yang membawa saling-paut dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dijelaskan, asas pertama adalah 'kepercayaan kepada tuhan', yang berpaut dan meletakkan Islam sebagai ad-din yang mutlak tempatnya di Malaysia pada peruntukan 'Perkara 3(1); Agama Islam sebagai Agama Persekutuan' ini malah disulami pengukuhan pada asas ketiga iaitu keluhuran perlembagaan.
Dakwah agenda utama
Maka jelas disini, tidak kira apa agama atau anutan, Islam adalah sendi negara dan segala yang bercanggah dengan norma kesyumulan Islam adalah ditegah dan tiada tempat dalam negara tercinta ini.
Namun memahami ini, kita juga perlu menyelami nilai kemanusiaan dan menjadikan dakwah sebagai agenda utama. Maka tidak wajar untuk kita menghukum, mencaci sehingga mampu menjadi fitnah kembali ke atas agama Islam.
Dari perspektif Islam, Islam itu agama kemanusiaan, adalah agama yang sempurna. Ini jelas apatah lagi sebagai insan yang juga hamba dalam makna penyerahan, tunduk patuh kepada sang penciptanya serta yakin dengan keimanan mendakap erat Islam itu sebagai ad-Din.
Kesempurnaan Islam sehingga perkara yang telah disyariatkan tidak boleh ditambah dan dikurangi. Kewajiban umat Islam adalah ittiba’ (menurut perintah).
Selaras dengan firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu …” [Al-Maa-idah: 3]
'Benar dan adil'
Al-Hafizh Ibnu Katsir Rahimahullah (wafat th. 774 H) menjelaskan, “Ini merupakan nikmat Allah yang terbesar diberikan kepada umat ini, tatkala Allah menyempurnakan agama mereka. Sehingga, mereka tidak memerlukan agama lain dan tidak pula Nabi lain selain Nabi mereka, iaitu Muhammad SAW. Oleh itu, Allah SWT menjadikan baginda sebagai penutup para Nabi dan mengutusnya sebagai "rahmatul lil a'lameen".
Sehingga, tidak ada yang halal kecuali yang dihalalkan Allah, tidak ada yang haram kecuali yang diharamkanNya, dan tidak ada agama kecuali yang disyariatkanNya. Semua yang difirmankan adalah hak, benar, dan tidak ada pembohongan, serta tidak ada pertentangan sama sekali. Sebagaimana firman Allah :
وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا
“Dan telah sempurna kalimat Rabb-mu (Al-Qur-an), (sebagai kalimat) yang benar dan adil …” [Al-An’aam: 115]
Maksudnya benar dalam khabar yang disampaikan, dan adil dalam seluruh perintah dan larangan. Setelah agama disempurnakan bagi mereka, maka sempurnalah nikmat yang diberikan kepada mereka".
Begitu jelas disini kesucian yang dipelihara agama. Sesungguhnya ciptaan Allah itu sempurna, namun lumrah kita sebagai hambanya lemah selaku insan.
Iktibar buat seluruh warga
Sekitar isu terkait LGBT, memetik firman Allah di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 165 dan 166 yang bermaksud:
“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,
“Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”
Demikian antara kalimah Allah yang menegah perbuatan seperti LGBT, selain kisah-kisah peringatan yang diceritakan dalam Al-Quran malah hadis-hadis yang tinggi sanadnya turut diriwayatkan sebagai pedoman.
Moga penulisan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan iktibar buat seluruh warga Malaysia. Kita saling memerlukan antara satu sama lain demi membina Malaysia ke arah yang lebih baik tanpa prejudis.
Bagi umat Islam, medan dakwah harus dijadikan landasan dalam tekad usaha serta doa moga Allah terus memelihara tanah tercinta ini dengan Islam tegak terpelihara sebagai contoh pedoman buat seluruh masyarakat mahupun umat.
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR ialah Exco ARMADA Malaysia (Pendidikan) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
.

