PATI: Bertindak terhadap majikan, dalang, bukan pekerja saja
Transparency International Malaysia (TI-M) mengingatkan pihak berkuasa agar tidak hanya bertindak terhadap pekerja asing tanpa izin (PATI), tetapi juga terhadap majikan serta dalang yang membawa mereka.
Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar berkata isu pekerja asing - yang biasanya menjadi faktor pertumbuhan ekonomi negara - perlu ditangani secara berhati-hati oleh kerajaan dengan kerjasama swasta.
"Terutama dalam soal kebanjiran PATI. TI-M mengambil maklum usaha jabatan imigresen dalam tindakan agresif terbaru mereka terhadap PATI.
"(Tetapi) Penguatkuasaan tegas juga perlu terhadap majikan yang mengambil mereka bekerja dan pihak yang membawa masuk mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 3 Julai lalu, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago mengecam tindakan jabatan imigresen ketika serbuan baru-baru ini yang disifatkannya sebagai "melayan pekerja asing seperti binatang".
Ketika itu beliau mengulas hantaran Facebook yang mendakwa kira-kira 300 pekerja asing ditahan di sekitar Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur, dalam "Ops Mega 3.0".
Hantaran itu antaranya mendakwa mereka digari bersama-sama dan dibiarkan selama lebih lima jam dalam trak, serta terpaksa pergi bersama-sama ke tandas.
Akhbar berkata lagi, kerajaan perlu bertindak tanpa takut dan berat sebelah terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar undang-undang dalam perkara ini.
"Kegagalan untuk mengambil tindakan segera terhadap PATI boleh mencetuskan masalah sosial dan malah mengancam keselamatan negara," katanya.

