Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Singapura patut tahu pendirian kita tentang HSR

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Singapura sepatutnya sudah tahu pendirian Malaysia berhubung Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

"Kita belum beri notis penuh lagi, namun mereka sepatutnya perlu tahu apa yang kita mahu buat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya hari ini.

Ditanya apa yang sebenarnya Malaysia cuba buat, Dr Mahathir menjawab,"Anda perlu baca berita sendiri".

Dr Mahathir sebelum ini berkata Malaysia bercadang membatalkan projek HSR kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Kerajaan Singapura semalam berkata Putrajaya belum menjawab surat diplomatik yang dikirim Singapura pada 1 Jun berhubung projek berkenaan.

Surat berkenaan bertanya tentang pendirian Malaysia berhubung projek itu memandangkan Singapura masih menanggung kosnya.

Sementara itu, Dr Mahathir menambah, kerajaan perlu berhati-hati dalam mengumumkan keputusan mereka berhubung projek HSR kerana ia boleh menjejaskan pasaran.

"Ketika kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkannya, pasaran memberikan reaksi negatif.

"Pasaran nampaknya suka diberitahu perkara yang tidak benar tentang betapa situasi dalam keadaan baik-baik supaya mereka boleh bagi markah yang bagus.

"Tapi jika kita beritahu mereka kita menemui pelbagai penyelewengan, mereka lari bawa duit mereka, berhenti melabur dan semua itu," katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan, tambahnya, akan memastikan semua transaksi dibuat mengikut cara yang betul.

"Itu sebab kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita cakap," katanya.

[Berita penuh menyusul]

 

Lihat Komen
ADS