PM: K'jaan akan rendahkan gaji bos GLC
Dalam usaha menipiskan jurang gaji antara anggota parlimen dan sektor swasta, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menurunkan gaji sektor swasta di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Saya tahu gaji anggota parlimen rendah berbanding sektor swasta.
"Kita tidak mahu (gaji anggota parlimen terlalu) rendah daripada sektor swasta jadi kita menurunkan gaji di sektor swasta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disambut dengan ketawa daripada hadirin.
"Anda tahu tak ada beberapa orang yang menerajui GLC mendapat sehingga RM7 juta setahun?" tambahnya.
Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan jika gaji anggota parlimen akan dinaikkan memandangkan ia jauh lebih rendah berbanding sektor swasta.
Dr Mahathir menambah bahawa tiada keperluan meningkatkan gaji anggota parlimen meskipun lebih rendah berbanding sektor swasta.
Ini kerana, katanya, kerajaan memberikan pelbagai elaun kepada anggota parlimen.
Sebelum meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, gaji bulanannya sebagai perdana menteri adalah RM20,000. Jumlah itu, kata Dr Mahathir adalah cukup baginya.
"Kerajaan beri perumahan, pengangkutan dan bagi elaun elektrik. Semuanya dibayar.
"Begitu juga dalam tempoh 22 tahun, saya tidak belanjakan gaji kerana semuanya sudah dibayarkan.
"Saya tidak tahu apa pandangan anggota parlimen, tapi kerajaan memberikan mereka dana bagi membantu kerja dan tugas mereka," katanya.

