Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti nasihat elak FB live ketika tawaf
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 3:28 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihatkan umat Islam supaya tidak membuat lintas langsung menerusi laman sosial Facebook atau Instagram ketika tawaf dan sa'ie meskipun hukumnya adalah dibolehkan.

Dalam tulisan berjudul 'Tawaf Sambil Live Facebook Atau Instagram' yang disiarkan di laman web rasminya, mufti itu berkata adalah lebih baik sekiranya jemaah haji atau umrah menumpukan ibadah kepada Allah SWT.

“Kami berpendapat melakukan aksi seperti di atas adalah dibolehkan tetapi alangkah baiknya ditinggalkan.

"Ini kerana tawaf dan sa'ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan khusyuk kepada Allah SWT," katanya.

Menurut Zulkifli, pandangan beliau adalah berdasarkan hadis nabi diriwayatkan Imam al-Tirmizi: "Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barang siapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik."

"Kebanyakan ahli ilmu termasuk Imam al-Tirmizi juga berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.”

Beliau berkata, perlakuan badan yang menjaga tatasusila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa kehambaan dan tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa’ie.

“Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri terutamanya ketika beribadat kepada Allah SWT seperti tawaf dan sa’ie ini,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia untuk musim haji 1439H/2018 dijadualkan pada 14 Julai ini.

Lihat Komen
ADS