Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Macau sahkan terima permintaan untuk tangkap Jho Low
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Polis Macau mengesahkan mereka telah menerima permintaan daripada pihak berkuasa Malaysia untuk menangkap ahli perniagaan, Low Taek Jho tetapi masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Perkara itu dinyatakan dalam komunikasi menerusi e-mel kepada Malaysiakini.

"Mengenai pertanyaan anda tentang Low Taek Jho, Biro Pusat Interpol China cawangan Macau telah menerima permintaan dari negara yang berkenaan (untuk menangkapnya).

"Cawangan itu masih mengesahkan kandungan permintaan itu dan akan memberikan jawapan kepada negara berkenaan dengan secepat mungkin," kata polis Macau menerusi pejabat medianya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM telah membuat permintaan rasmi kepada rakan sejawatan mereka di Macau untuk menangkap Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Low, yang kini diburu polis bagi membantu siasatan terhadap skandal 1MDB, dilaporkan melarikan diri ke Macau selepas pasukan polis tempatan tiba di Hong Kong untuk menahannya.

"Maklumat terbaru yang kami tahu dia berada di Macau. Malah ketika pasukan kami tiba di Hong Kong, dia telah pergi ke sana," kata Fuzi minggu lalu.

Wilayah Macau tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara lain bagi membawa pulang Low, yang merupakan individu penting dalam skandal 1MDB ke Malaysia.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa dalam saman sivilnya bahawa ahli perniagaan itu terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh menggunakan dana itu untuk membeli kapal persiaran mewah, The Equanimity; barang kemas untuk model Miranda Kerr; dan juga kalung berlian merah jambu berharga AS$ 27.3 juta untuk isteri Malaysian Offcial 1 (MO1).

DOJ mendakwa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan AS$ 620 juta yang didakwa MO1 telah dikembalikan kepada penderma keluarga diraja Arab, tetapi sebaliknya disalurkan ke akaun yang didakwa dikawal oleh Low.

MO1 dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS