Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ustaz Kazim luah perasaan terpaksa 'jual' pusat tahfiz
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 5:45 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Desas-desus hantaran Facebook Datuk Mohd Kazim Elias, penceramah yang dikenali sebagai Ustaz Kazim mengenai penjualan Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya terjawab apabila beliau mengesahkan hal tersebut, lapor media tempatan.

"Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

"Pengesahan itu sekali gus merungkai persoalan statusnya di Facebook dan di laman mudah.my mengenai penjualan pusat berkenaan," kata laporan BH Online.

Laman jual beli dalam talian, mudah.my memuatkan iklan jualan pusat itu dengan harga RM 5 juta.

Ustaz Kazim dipetik BH Online berkata beliau sedih dengan keputusan yang terpaksa diambilnya tetapi tidak mampu menanggung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan yang kini mencecah RM150,000 sebulan.

"Keputusan ini memang amat sedih tetapi terpaksa diambil kerana saya memikirkan nasib guru serta pelajar dan penjualan ini dapat menampung kos pentadbiran dua lagi unit di pusat ini," kata beliau yang juga pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak yang ditubuhkannya kira-kira 12 tahun lalu.

Namun, beliau hanya akan menjual sebahagian pusat itu membabitkan unit tahfiz di pusat berkenaan yang menempatkan 100 pelajar.

Ustaz Kazim berkata antara puncanya beliau mendakwa ada usaha menyekatnya kerana tidak lagi mendapat panggilan memberikan kuliah atau ceramah.

"Tetapi sejak dua tiga bulan ini saya rasa macam ada satu usaha menyekat ceramah saya, dibatalkan dan dihalang, saya rasa kalau keadaan ini berterusan, saya tidak mampu menampung Al Barakah," katanya.


BACA : Ustaz Kazim kecewa, tarik diri berceramah di TV


Menurut Ustaz Kazim lagi walaupun terpaksa menjual unit tahfiz berkenaan, usahanya dalam pendidikan tahfiz di negara ini akan diteruskan beliau dengan penubuhan satu pusat tahfiz dalam skala kecil selepas ini.

"Sebenarnya, kita sudah ada tiga lot tanah di Jalan Juara, Manjoi untuk pembinaan dan wang hasil penjualan unit tahfiz berkenaan akan digunakan untuk membuka pusat tahfiz dalam skala kecil itu iaitu dalam 20 pelajar.

"Saya akan mengecilkan skala bagi menjimatkan kos dan keputusan ini diambil untuk kepentingan bersama," katanya, petik BH Online.

Awal hari ini, Ustaz Kazim dalam satu hantaran di Facebook berkata beliau meminta maaf jikatidak mampu lagi (menampung) Pusat Pendidikan Al Barakah.

"Pembiayaan sekolah ini adalah dari hasil kuliah dan ceramah saya setiap hari. Kalau ada usaha menyekat ceramah bagaimana saya ingin meneruskan sekolah yang memerlukan dana yang besar.

"Kalau saya tak mampu lagi saya minta maaf banyak-banyak," katanya.

HARAPAN Perak tiada sekatan

Manakala itu Exco Agama Perak, Asmuni Awi dalam hantarannya di Facebook menegaskan tiada sebarang sekatan terhadap mana-mana penceramah agama dan dakwaan senarai hitam kerajaan Pakatan Harapan sebagai berniat jahat.

"Saya tegaskan, tidak ada sebarang sekatan terhadap mana-mana penceramah agama dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri Perak.

"Dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan 'blacklist' penceramah tertentu adalah satu dakwaan yang berunsur fitnah berniat jahat," katanya.

Penceramah bebas Wan Ji Wan Husin pula menulis di media sosial mengulas isu ini berkata Ustaz Kazim tidak boleh menyalahkan kerajaan HARAPAN dalam hal tidak mendapat undangan ceramah.

"Dalam kes Ustaz Kazim, beliau tidak boleh salahkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Sebab, kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia baru beberapa bulan je pun," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Ustaz Kazim tidak menamakan pihak yang menyekat kegiatan ceramah dan kuliahnya.

Lihat Komen
ADS