Kerajaan melantik sebuah firma perunding dan audit bebas, Grant Thornton, untuk menguruskan operasi harian syarikat milik Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Pasukan Grant Thornton itu akan diketuai rakan kongsi mereka di Malaysia, Kishan Jasani, yang mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun dalam hal ehwal perundingan dan jaminan.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon pula dilantik sebagai pengerusi dan menubuhkan sebuah jawatankuasa eksekutif membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, rakan kongsi kanan Grant Thornton Malaysia Hooi Kok Mun, dan pegawai Kementerian Kewangan Faisal Abdul Ghani.

SSER sebelum ini dikaitkan dalam skandal pembinaan projek dua saluran paip gas membabitkan perbelanjaan sebanyak RM9.4 bilion.

Bulan lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion - atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek berkenaan - walaupun projek tersebut baru 13 peratus disiapkan.

Kata Lim tanah yang terlibat dalam projek itu belum dimiliki kerajaan dan ada peraturan tertentu gagal dipatuhi.

Pada 5 Jun bekas perdana menteri - yang juga menteri kewangan sebelum ini - Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan kerajaannya menyerahkan projek saluran paip gas dan petrokimia itu kepada syarikat China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

Kata Najib semua prosedur dan peraturan yang ditetapkan sudah dipatuhi semasa projek berkenaan dirunding serta dilaksanakan.

[Baca berita penuh]