Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamarul idam HARAPAN menang percuma di Sg Kandis
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Meskipun sebelum ini dikecam kerana mempertikaikan umur pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menurutnya tidak sesuai menjadi perdana menteri, penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff kini dilihat mengakui kekuatan parti gabungan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Setidaknya, Kamarul mengakui hal itu benar di kerusi dewan undangan negeri Sungai Kandis yang kini kosong susulan penyandangnya meninggal dunia.

Justeru, bekas pengarah Institut Kajian Politik Malaysia itu mencadangkan agar pembangkang khususnya BN dan PAS memberi kemenangan percuma kepada HARAPAN dalam PRK Sungai Kandis yang bakal diadakan.

Menjelaskan cadangannya itu kepada FMT, Kamarul berkata, ia adalah kerana keputusan sebelum ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa BN atau PAS tidak mempunyai sebarang peluang untuk menang di kerusi itu.

Selain itu, tambah Kamarul, dengan memberikan kemenangan percuma kepada HARAPAN, ia dapat mengurangkan pembaziran wang bagi mengadakan PRK dan usaha dapat ditumpukan dalam memulihkan negara.

“Sekarang adalah masanya untuk kita menumpukan usaha untuk memulih dan membangunkan negara. Berpolitik ini ada masa dan ketikanya, berpolitik sepanjang masa tidak elok.

“Memberikan kemenangan percuma kepada HARAPAN akan mengurangkan pembaziran wang negara,” katanya dipetik sebagai berkata.

Faktor ke-3, jelas Kamarul, kalaupun pembangkang mampu melakukan keajaiban dengan menang mengejut, keputusan itu tetap tidak akan mampu mengubah apa-apa memandangkan HARAPAN menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Sementara faktor ke-4, tambahnya, BN dan PAS pernah tidak menyertai PRK DUN seumpamanya.

"BN tidak terlibat PRK Penanti pada 31 Mei 2009 dan PRK Chempaka pada 22 Mac 2015. Manakala PAS tidak terlibat PRK Batu Talam pada 28 Januari 2007 dan PRK Tanjung Datu pada 18 Februari 2017,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, PAS dilihat lebih bersemangat berbanding BN untuk merebut kerusi itu.

Melalui kenyataan timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS berkata mereka tidak akan memberi kemenangan mudah kepada mana-mana parti yang akan bertanding PRK itu.

Setiausaha agungnya pula, Datuk Takiyuddin Hassan memberikan gambaran untuk BN tidak bertanding agar calon PAS dapat menentang calon HARAPAN dalam pertandingan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Sungai Kandis pada Sabtu, 4 Ogos ini, manakala penamaan calon pada 21 Julai.

Menurut SPR, PRK itu dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandangnya dari PKR, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu.

Lihat Komen
ADS