Pakatan Harapan (HARAPAN) digesa mengingati semula janjinya untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun berikutan kenyataan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah awal hari ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo berkata kenyataan Wan Azizah mengenai perkara itu menunjukkan pendirian HARAPAN yang terlalu lembut dan dikatakan bercanggah dengan manifesto pilihan raya mereka sebelum ini.

"Kecuali kerajaan HARAPAN membuat pendirian yang jelas dan tegas berkaitan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tidak akan ada perubahan dalam pola fikir yang membolehkan pernikahan seperti itu.

"HARAPAN tidak dapat lagi berselindung di sebalik alasan yang perkahwinan kanak-kanak dibolehkan oleh undang-undang syariah dan membutakan mata terhadap amalan yang buruk dan ketinggalan zaman ini.

"Negara-negara lain di seluruh dunia telah mengambil langkah untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak dan Malaysia mesti mengikutinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Malay Mail melaporkan Wan Azizah sebagai berkata Putrajaya tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan perkahwinan kontroversi antara seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang lelaki Kelantan berusia 41 tahun.

Ini kerana menurutnya undang-undang syariah Kelantan membenarkan mereka yang berusia di bawah 16 tahun untuk berkahwin dengan mendapat kebenaran mahkamah.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, perkahwinan tersebut sah dari hukum syariah.

Bagaimanapun beliau berkata kes itu kini dipantau secara dekat dan kerajaan sedang bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

[Baca berita penuh]