Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini diburu pihak berkuasa Malaysia telah meninggalkan Macau ke lokasi yang tidak diketahui.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima emel daripada polis Macau dua hari lalu yang memaklumkan tentang perkara itu.

"Kita terima emel daripada (polis) Macau dua hari lalu, kata Jho Low sudah tinggalkan Macau," katanya.

Bagaimanapun, kata Fuzi, polis Macau tidak menyatakan bila Jho Low meninggalkan wilayah itu.

Dalam kenyataan untuk media tempatan yang turut diterima Malaysiakini, Jabatan Polis Persekutuan Macau berkata pihaknya kesal dengan PDRM yang menyebarkan "berita mengenai Macau yang tidak sejajar dengan fakta", tetapi tidak menghurainya dengan lanjut.

"Individu bertanggungjawab atas pernyataan media baru-baru ini oleh pasukan polis negara yang berkaitan tentang berita mengenai Macau adalah tidak sejajar dengan fakta.

"Pasukan polis sangat kesal mengenai perkara ini. Mengikut peruntukan undang-undang, polis Macau tidak secara terbuka mendedahkan maklumat masuk dan keluar individu," katanya kenyataan itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya mendakwa Jho Low terlibat dalam pelbagai penyelewengan dana 1MDB.

Antaranya ahli perniagaan itu dituduh menggunakan wang 1MDB untuk membeli kapal pesiar mewah Equanimity, barang kemas untuk model Australia Miranda Kerr, serta berlian merah jambu bernilai AS27.3 juta kepada isteri "Malaysian Official 1 (MO1)".

DOJ mendakwa berlian itu dibeli menggunakan sebahagian daripada AS$620 juta yang didakwa MO1 sebagai wang yang telah dikembalikan kepada penderma diraja Arab Saudi, tetapi sebenarnya disalurkan ke akaun yang dikawal Jho Low.

MO1 dikenalpasti sebagai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS