IGP nafi terlibat dalam pemilihan MIC
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan pembabitan beliau dalam pemilihan parti MIC yang dijadual berlangsung pada 29 Julai ini.
Beliau juga menyangkal dirinya membalas pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada salah seorang ahli MIC seperti yang tular di laman sosial.
"Saya sedih bahawa nama saya diseret dalam tuduhan ini. Saya ingin tegaskan di sini semua dakwaan yang dibuat terhadap saya berkaitan pemilihan MIC adalah palsu.
“Saya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik dan kita telus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai badan beruniform, kecuali ada isu-isu yang melibatkan jenayah dan sebagainya” katanya kepada wartawan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Walau bagaimanapun, naib presiden MIC, SA Vigneswaran, kemudiannya enggan mengesahkan atau menafikan tuduhan berkenaan apabila dihubungi Malaysiakini.
Isu itu timbul susulan paparan skrin pegun berhubung pertukaran mesej berkenaan sedang disebarkan di media sosial.
Ia menunjukkan kononnya 'IGP TS Fuzi' berjanji bahawa siasatan sedang dijalankan, sebagai jawapan kepada teks yang mendakwa ketua dan ketubahagian dan cawangan MIC telah diugut oleh Vigneswaran untuk menyokongnya menjadi presiden.
Pengadu, yang namanya dikaburkan mendakwa mewakili beberapa ketua bahagian, dan berkata bahawa mereka takut kepada adik pemimpin itu, yang dikatakan sebagai ‘gangster’ dari Subang Jaya.

