Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'SPRM perlu jawab jika bekas pegawai Shafie bebas tuduhan seleweng'
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM,
Datuk Seri Shukri Abdul menjawab sama ada bekas kakitangan Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai RM29 juta dalam akaunnya bebas dari pertuduhan penyelewengan dana awam.

Beliau merujuk bekas kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diterajui Shafie dari 2010 hingga 2015 yang ditahan Oktober tahun lalu kerana disyaki memalsukan dana awam bernilai RM1.5 bilion daripada projek pembangunan di Sabah.

“Ketika itu menterinya ialah Shafie Afdal yang kini adalah ketua menteri Sabah.

“Persoalannya betulkah dalam akaunnya ada RM29 juta? Bagaimana Pegawai gred 54 ada RM29 juta dalam akaunnya? Kalau benar, tidakkah itu pelik?

“Dari mana sumbernya? Kenapa tidak disiasat menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” soalnya dalam satu kenayatan media, hari ini.

Mohd Puad turut mendesak badan antirasuah itu untuk mendedahkan jika kes berkenaan digugurkan untuk menyelamatkan Shafie dari sebarang pendakwaan..

Beliau berkata kredibiti kerajaan Pakatan Harapan akan terjejas sekiranya kes itu ditutup dengan mendakwa wanita berusia 41 tahun itu bersedia menjadi saksi jika Shafie dibawa ke mahkamah.

“Kalau benar SPRM di bawah Malaysia Baru tegas membanteras rasuah, maka tolong tampil sebagai anak jantan dan buat penjelasan apa jadi pada kes tersebut.

“Betulkah (kakitangan itu) tidak akan didakwa demi menyelamatkan Shafie,” soalnya.

Oktober tahun lalu SPRM membekukan RM29 juta daripada akaun bank pegawai berkenaan selepas RM150 juta dirampas dalam beberapa siri serbuan yang merangkumi 15 lokasi di Sabah berkaitan siasatan penggelapan dana kementerian itu.

Shafie yang kini Presiden Parti Warisan Sabah mengetuai kementerian itu dari 2010 hingga 2015.

Beliau pernah ditahan reman selama lapan hari oleh SPRM pada Oktober lalu bagi membantu siasatan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000. Sehingga hari ini, belum ada sebarang pertuduhan dikenakan ke atas dirinya.

Malaysiakini sudah menghubungi Shukri berhubung perkara itu dan sedang menunggu maklum balas darinya. Kami juga sedang mendapatkan respon daripada pegawai berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS