Berita Malaysiakini

AG Swiss: Apandi enggan bekerjasama isu 1MDB

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Peguam Negara Switzerland Michael Lauber mendakwa Tan Sri Mohamed Apandi Ali enggan bekerjasama dalam siasatan berkaitan 1MDB ketika mengetuai Pejabat Peguam Negara Malaysia.

Lauber membuat dakwaan itu selepas bertemu pengganti Apandi, Tommy Thomas semalam.

“Sejak 2015, (kami telah) menjalankan siasatan di Switzerland dan sejak awal, kami cuba bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg.

“Dan kami juga cuba dengan Malaysia tetapi pada masa itu, pada 2016, kami disahkan bahawa peguam negara Malaysia ketika itu tidak mahu bekerjasama dengan kami,” dakwanya.

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) telah meminta bantuan undang-undang bersama daripada Malaysia untuk dua kes tetapi dilaporkan tidak mendapat maklum balas.

Apandi dilantik sebagai peguam negara pada Julai 2015.

Beliau dilantik selepas Tan Sri Abdul Gani Patail digugurkan sebagai peguam negara, sejurus sebelum beliau dikatakan mahu mendakwa perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak di mahkamah.

Apandi telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari 2016.

Pada pilihan raya 9 Mei, BN yang dipimpin Najib tumbang buat kali pertama dalam sejarah pemerintahan 61 tahun, sejak merdeka.

Perdana menteri baru, Tun Dr Mahahir Mohamad, yang kembali menerajui negara buat kali kedua mendakwa Apandi cuba menutup isu itu dan mengarahkannya bercuti.

Najib pada 4 Julai lalu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa dalam transaksi bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ia adalah pertuduhan sama yang dikatakan mahu dikemukakan Gani.

Pertuduhan terhadap Najib secara khusus berkaitan transaksi di negara ini.

Siasatan lebih luas berkaitan 1MDB melibatkan banyak negara juga sedang berlangsung.