Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | DAP mengumumkan mereka berjaya menubuhkan tujuh cawangan baru di Kelantan, menjadikannya sepuluh termasuk tiga cawangan yang sekian lama bertapak di Parlimen Kota Bharu.

Parti itu yakin dengan parameter yang telah dibuktikan oleh majoriti pengundi - mereka mampu menawan sekurang-kurangnya satu kerusi di Kelantan

Anak muda Umno perlu bersedia dengan keadaan ini kerana DAP sangat licik dalam membawa agenda politik mereka.

Seperti yang kita sedia maklum, Lim Guan Eng sudah pun terpalit dengan noda dakwaan rasuah melibatkan isu banglonya. Ditambah pula dengan isu terowong dasar laut yang begitu kontroversi dan menelan berbillion ringgit wang kerajaan Pulau Pinang.

Namun semua itu dalam lipatan kuasa Pakatan Harapan (HARAPAN). Kita seperti tidak berdaya melawan kerajaan HARAPAN yang dilihat begitu agresif menelanjangkan BN dari segenap sudut, terutama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tetapi saya yakin semangat Pemuda Umno tidak mudah luntur.

Lihatlah begitu bersungguh-sungguh parti-parti kerajaan mendambakan ahli Umno untuk melompat ke dalam pasukan mereka. Ini kerana mereka sendiri meyakini bahawa pejuang Umno adalah berani, kental dan berkualiti.

Pemuda Umno tidak boleh melihat pengaruh DAP yang semakin berkembang di Kelantan sebagai satu riak kecil sahaja. Kejayaan gerakan ala subversif mereka sebelum ini berjaya menumbangkan BN yang sudah 61 tahun memegang tampuk kerajaan Malaysia.

Kita mampu mengorak langkah baru dengan membuang segala anasir-anasir negatif yang selama ini membelenggu.

Pengundi muda kini boleh menilai apa yang telah dijanjikan HARAPAN. Isu LGBT, UEC, bahasa Melayu dan komposisi menteri berdasarkan parti juga akan membuatkan pengundi muda melakukan penilaian baru terhadap mereka pada PRU akan datang.

Pemuda Umno akan terus berusaha membuktikan kepada pengundi bahawa kita adalah pembela rakyat.

Kepada PAS, jangan terlalu angkuh dengan kekuasaan 28 tahun di Kelantan, dan kepada DAP, “we will never surrender”.


SHAHRUL FADHEL MOHD AZIZ ialah ketua pemuda Umno Kubang Kerian.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS