Terjemahan Negara-negara Asia Pasifik diingatkan supaya melindungi hak seksual dan menyediakan perkhidmatan reproduktif yang sewajarnya kepada rakyat bagi mengelakkan keadaan persekitaran yang buruk.

Perkara itu dibangkitkan dalam Persidangan Asia-Pasifik ketiga di Kuala Lumpur hari ini.

Deklarasi persidangan itu menyatakan, komitmen terhadap perkara tersebut di dalam dasar, perancangan dan bajet negara dan pihak berkuasa tempatan, adalah selaras dengan strategi Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu menghapuskan kemiskinan dan menjaga alam sekitar.

Deklarasi tersebut yang diputuskan semalam menegaskan pembangunan dan reformasi sistem kesihatan tidak sepatutnya mengenepikan hak orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan seksual dan reproduktif pada kos yang mereka mampu.

Lebih 1,200 delegasi daripada 57 negara menyertai persidangan tersebut. Mereka berjanji untuk berkerjasama dengan kerajaan dan masyarakat negara masing-masing termasuk media dan sektor swsta bagi melaksanakan resolusi-resolusi dalam deklarasi berkenaan.

Mereka akan memastikan maklumat dan perkhidmatan seksual dan reproduksi jangka panjang yang bermutu tinggi dan sesuai untuk semua jantina dibentuk, sediakan dan dipantau.

Antara langkah yang dicadangkan ialah promosi penggunaan kondom untuk lelaki dan wanita akan ditingkatkan. Selain itu pencegahan dan rawatan penyakit yang berpunca dari hubungan seks akan dititikberatkan.

Persidangan itu juga menyentuh tentang ancaman kematian dan penyakit akibat dari perbuatan menggugurkan bayi secara tidak selamat.

Deklarasi itu menyatakan, pendidikan dan perkhidmatan pengguguran bayi secara selamat akan diwar-warkan mengikut undang-undang yang dibenarkan oleh negara-negara berkenaan.

Selain itu persidangan tersebut juga menekankan kepentingan diwujudkan keadilan gender supaya tidak berlaku keganasan dan eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak. Berita asal