PKR Kelantan mendakwa parti itu terus menarik perhatian ramai dan menerima permohonan keanggotaan sangat memberangsangkan, termasuk dari kalangan penjawat awam.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata daripada 20,0000 borang permohonan keahlian baru, antara 15 hingga 20 peratus adalah terdiri daripada individu yang bekerja dengan kerajaan persekutuan.

"Kami banyak menerima permohonan daripada kalangan guru, doktor dan kumpulan sokongan sekotor kerajaan.

"Ia didorong oleh keterbukaan kita dalam senario politik hari ini sekali gus menarik minat golongan terbabit untuk menjadi ahli parti," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Mohd Sukirman berkata, setakat 26 Jun lalu angka rasmi keanggotaan PKR Kelantan mencecah 43,200 orang.

Katanya, keadaan itu juga memperlihatkan betapa PKR menjadi pilihan bagi mereka yang melihat perlunya negara ini diselamatkan melalui politik kepartian.

"Antara faktor yang menyumbang minat mereka apabila kita ketengahkan isu-isu seperti tekanan dan paksaan politik oleh kerajaan sebelum ini.

"Sebaliknya kerajaan hari ini lebih terbuka memberi kebebasan untuk penjawat awam membuat pilihan mereka," ujarnya.

Sementara itu, PKR Kelantan juga menjangkakan saingan sengit akan dihadapi dalam pemilihan parti pada September depan khususnya bagi jawatan-jawatan peringkat cabang.

Mohd Sukirman berkata, kesemua 14 cabang di negeri itu dijangka akan menyaksikan pertembungan dua hingga lima penjuru bagi semua jawatan.

"Dalam aspek demokrasi ia sesuatu yang baik dan perlu untuk diraikan. Hak setiap anggota parti tidak boleh dinafikan. Satu anggota satu undi.

"Pun begitu, syarat untuk seseorang itu bertanding dan membolehkan seseorang itu memegang jawatan mestilah keanggotaannya melepasi tempoh matang satu tahun," tambahnya.