‘Tidaklah, itu hanya cerita dongeng’
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum menolak spekulasi bahawa beliau akan dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru.
Akhbar Borneo Post memetik Malanjum sebagai memberitahu pemberita: "Tidaklah, itu hanya cerita dongeng,” apabila ditanya sama ada namanya adalah antara yang dicadangkan untuk menggantikan ketua hakim negara semasa, Tan Sri Md Raus Sharif, yang akan melepaskan jawatannya berkuat kuasa akhir bulan ini.
Menurut laporan itu, Malanjum enggan menjawap soalan lanjut.
Terdahulu hari ini, The Edge melaporkan bahawa nama Malanjum adalah antara yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan baginda bagi mengisi empat jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.
Memetik sumber, laporan itu berkata selain nama Malanjum sebagai ketua hakim negara, nama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dicalonkan sebagai presiden Mahkamah Rayuan.
Turut disebut adalah nama Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai hakim besar Malaya dan untuk ketua hakim Mahkamah Tinggi di Malaya, dan Stephen Ching Hian Guan pula sebagai hakim besar, Sabah dan Sarawak.
Malanjum, 65, adalah hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan, dan sebelum ini berkhidmat sebagai hakim mahkamah persekutuan dan mahkamah rayuan.

