mk-logo
Berita
'Umno perlu jarak diri dari bekas pemimpin ada kes'
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 7:04 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Umno perlu menjarakkan diri daripada bekas pemimpinnya yang menghadapi kes mahkamah, kata Ketua Pemuda parti itu dari Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

"Umno perlu mengasingkan diri daripada kes mahkamah yang dihadapi bekas pimpinan. Tak perlu risiko kemungkinan kebangkitan parti dengan isu mahkamah.

"Tapi parti jauh lebih besar daripada individu. Kita tak boleh jangka keputusan mahkamah," kata Shaiful Hazizy dalam suatu kenyataan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu beliau tidak menamakan bekas pemimpin Umno berkenaan.

"Perbicaraan ini akan memakan masa panjang. Apakah selama itu juga Umno mahu terkait dengan kes? Apakah langkah ini strategik untuk Umno?

"...kita mempertaruhkan risiko yg terlalu tinggi," katanya.

'Pesta kutip derma'

Shaiful yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok juga menggesa pemimpin parti mengambil tindakan wajar dan menyuarakan beliau tidak bersetuju dengan 'pesta kutip derma kos guaman' anjuran parti.

"Pimpinan tertinggi mesti ambil keputusan paling wajar. Parti mesti diasingkan daripada diheret dalam kes peribadi.

"Saya juga agak kurang bersetuju apabila parti menganjurkan pesta kutip derma bagi menampung kos guaman dan dan jaminan mahkamah," katanya lagi.

Walaupun tidak menyebut nama, namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah kira-kira RM42 juta.

Ikat jamin RM1 juta

Beliau dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Najib pada hari yang sama membayar wang tunai RM500,000 dan perlu membayar baki RM500,000 pada keesokan harinya.

Peguambela, Datuk Seri Shafie Abdullah sebelum ini menawarkan geran rumah Najib bernilai RM4 juta, memandangkan akaun bank bekas presiden Umno itu telah dibekukan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah perkara itu.

Seterusnya, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutan Datuk Mod Razlan Rafiie melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi membantu bekas perdana menteri membayar wang ikat jamin.

Lihat Komen
ADS