Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan meterai MOU pertahanan dengan Jepun

Malaysia akan memperkukuhkan kerjasama pertahanan dengan Jepun menerusi pemeterian beberapa memorandum persefahaman (MOU) dengan negara itu menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau tidak sabar untuk ke Jepun akhir tahun ini bagi menghadiri majlis menandatangani MoU antara Malaysia dan Jepun bagi meningkatkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara itu.

“Malaysia mengiktiraf sumbangan Jepun dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan pada peringkat global.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan dalam mesyuarat Kabinet bahawa Malaysia mahu mengikut corak pertahanan yang diamalkan oleh Jepun,”katanya berucap pada majlis resepsi Hari Self Defence Force (SDF) Jepun di kediaman rasmi Duta Besar Jepun di Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Menteri Luar Jepun, Taro Kono, Duta Besar Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzzaman Ahmad Badaruddin.

Mohamad juga juga menyampaikan permohonan maaf Dr Mahathir kerana tidak dapat menghadiri majlis itu.

“Sepatutnya, Perdana Menteri mahu hadir pada majlis ini namun ada perkara penting yang tidak dielakkan. Beliau meminta maaf kerana tidak dapat hadir,” katanya.

Sementara itu, Taro berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun sentiasa kukuh dalam pelbagai bidang.

“Kita boleh bekerjasama dalam banyak perkara...kami amat bangga untuk membincangkan isu-isu tersebut,” katanya yang tiba di ibu negara semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai situasi banjir di barat Jepun yang sehingga kini meragut hampir 200 nyawa.

Terdahulu, Taro mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir, rakan sejawatannya, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Dam Zainuddin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS