Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah bebas bekas peguam kerabat diraja Johor

Bekas peguam kerabat Diraja Johor, Kamal Hisham Ja’afar didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini setelah mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh apabila dia diberikan tawaran oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Berdasarkan seksyen itu, Kamal Hisham diberikan tawaran untuk mengaku salah bagi satu pertuduhan yang hukumannya paling minimum iaitu denda dan tiada rekod jenayah.

Mahkamah dengan persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh turut mengambil kira keseluruhan 16 pertuduhan lain dihadapi Kamal Hisham sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan.

Kamal Hisham, 48, menghadapi dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM533,000; sembilan pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan nilai hamper RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Pengampunan Sultan Johor

Pada 13 Jun lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menyatakan berkenan menerima permohonan maaf daripada Kamal Hisham dan mengampunkannya tanpa apa-apa syarat.

Namun dalam prosiding pagi tadi untuk mendengar keputusan mahkamah berhubung pengampunan itu, barisan peguam mewakili Kamal Hisham menyatakan kecewa kerana anak guamnya tidak dilepaskan dan dibebaskan mahkamah walaupun sudah mendapat pengampunan Sultan Ibrahim.

Ia berikutan apa yang dibincangkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum prosiding berlangsung, tidak berjalan seperti dipersetujui.

Ini mengakibatkan mahkamah kemudian memutuskan perbicaraan bela diri yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok, diteruskan sementara menunggu usaha pihak pembelaan menyelesaikan isu pembebasan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika prosiding perbicaraan bela diri dimulakan pada sesi petang, Kamal Hisham tiba-tiba pula memilih untuk mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif untuk pertuduhan kedua.

Didakwa guna kedudukan

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, Kamal Hisham didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Syarikat Southern Ads Sdn Bhd untuk menyewakan ruang perniagaan di JB Sentral kepada sebuah syarikat yang mana dia adalah pengarah dan pemegang sham syarikat dan kemudian menyewakan semula ruang perniagaan itu kepada sebuah syarikat lain untuk mendapatkan keuntungan secara langsung.

Bagi perbuatan yang dilakukan antara 7 Ogos 2009 dan 31 Julai 2011 itu, dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan barisan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Zhafran Rahim Hamzah, Shukor Abu Bakar dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Afif Abdullah.

Kamal Hisham diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Hasan Karim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS