Pelajar sekolah dinasihatkan supaya tidak membuat gurauan melampau dan merakamkannya kerana perbuatan itu boleh menimbulkan keresahan orang ramai jika rakamannya tular di media sosial, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

"Dalam kejadian yang ditularkan Isnin lalu, seorang pelajar sekolah dilihat diikat di sebatang tiang menggunakan akar kayu. Walaupun gurauan tetapi ia dilihat agak melampau.

"Pelajar itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana jika tersilap langkah mungkin boleh memberi kesan termasuk kecederaan atau sebagainya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu semalam.

Hasanuddin berkata polis hanya menerima maklumat secara lisan membabitkan kejadian itu yang dikatakan berlaku di Kampung Penambang di Kota Bharu, namun belum menerima laporan rasmi mengenainya.

"Siasatan awal mendapati kes itu tiada sebarang unsur jenayah, sebaliknya perbuatan itu hanyalah satu gurauan.

"Video itu menjadi tular sehingga menyebabkan orang ramai menganggap pelajar terbabit dipercayai dibuli oleh pelajar lain yang ada dalam video berkenaan," kata Hasanuddin.

- Bernama