Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan program ‘Rehiring’ atau Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin di kawasan Sri Serdang yang menempatkan premis transit warga asing dan syarikat yang menawarkan perkhidmatan proses ‘Rehiring’ untuk warga asing dalam Ops Mega 3.0 kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pemeriksaan terhadap premis yang disyaki dijadikan sebagai rumah transit, anggota operasi menahan 68 lelaki warga asing yang terdiri daripada 66 warga Bangladesh dan dua warga India yang baru masuk ke Malaysia tidak sampai sebulan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Pada masa yang sama, serbuan dijalankan terhadap sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerimaan dan pemprosesan di bawah program ‘Rehiring’.

"Hasil pemeriksaan ke atas syarikat tersebut, beberapa dokumen dan permohonan yang tidak teratur dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, syarikat tersebut mempunyai beberapa anak syarikat yang mempunyai kelulusan untuk menjalankan program ‘Rehiring’ tetapi kelulusan tersebut disalah guna dengan menyelitkan beberapa syarikat sebagai anak syarikat yang pengurusnya merupakan warga Bangladesh.

Hasil semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati terdapat warganegara asing yang hanya menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) menjadi ahli lembaga pengarah atau rakan kongsi beberapa syarikat itu, katanya.

"Selain itu, perjanjian dokumen antara syarikat ini dengan beberapa syarikat yang lain seperti pemilik tengah, kilang dan sebagainya diragui,” katanya.

Mustafar berkata semakan ke atas semua syarikat itu juga mendapati mereka memohon jumlah pekerja asing yang terlalu banyak bagi kuota pekerja asing melalui Program Rehiring dengan dokumen-dokumen yang diragui.

Beliau berkata beberapa dokumen sokongan, 98 pasport warga Bangladesh dan Indonesia, wang tunai hampir RM250,000 yang disyaki hasil kutipan untuk pemeriksaan kesihatan, levi, bayaran Pas Sosial, permohonan PLKS termasuk bayaran perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan permohonan di bawah program ‘Rehiring’ dirampas dalam operasi itu.

Mustafar berkata dua wanita tempatan yang merupakan pengurus dan pembantu pengurus ditahan untuk tujuan siasatan.

Turut ditahan ialah 11 lelaki warga Bangladesh yang berada dalam premis pejabat semasa serbuan dilakukan, katanya.

Selain itu, katanya dua lelaki warga Bangladesh iaitu 'Pengarah Syarikat’ dan anaknya yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi menguruskan warganegara asing untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan turut ditahan.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan turut ditahan semasa hadir di pejabat itu dan memperkenalkan diri sebagai ejen yang menempatkan 68 lelaki warga asing di sebuah rumah transit sebelum menghantar mereka ke beberapa syarikat dan kilang yang memerlukan tenaga kerja asing.

Mustafar berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

- Bernama