Seorang pegawai kerajaan negeri China menyangkal laporan bahawa usahawan kontroversi, Low Taek Jho atau juga dikenali sebagai Jho Low yang menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kes 1MDB sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut akhbar South China Morning Post, pegawai China berkenaan menafikan laporan awal harian itu bahawa Low dipercayai meninggalkan Macau dan menuju ke tanah besar China.

"Dia pastinya bukan di tanah besar China, sebarang dakwaan bahawa dia bersembunyi di tanah besar adalah tidak bertanggungjawab," kata sumber kerajaan itu.

Pada Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan polis telah dihantar ke Hong Kong untuk mengesan Jho Low.

Bagaimanapun, Fuzi berkata Low kemudiannya dilaporkan melarikan diri pula dari Hong Kong dan menuju ke Macau.

Low adalah individu penting dalam siasatan skandal 1MDB. Sebelum ini pihak berkuasa dilaporkan cuba mengesan lokasi ahli perniagaan kontroversi berkenaan namun gagal.

Bagaimanapun dengan perubahan kerajaan persekutuan usaha mengesan Low dipergiatkan.

Dia didakwa menggunakan wang 1MDB antara lain untuk membeli kapal layar mewah bernilai kira-kira RM1 bilion, barangan kemas untuk model Australia Miranda Kerr dan rantai dengan berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta kepada isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) mendakwa berlian itu dibeli menggunakan wang AS$620 juta yang didakwa MO1 telah dipulangkan kepada kerabat diraja Saudi.

MO1 dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.