Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Netizen bimbang LRT3 jadi macam 'sardin'
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Pengguna internet melahirkan kebimbangan akan berdepan dengan kesesakan dalam LRT3 selepas Kementerian Kewangan mengumukan langkah untuk mengurangkan kos projek LRT3.

Ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc dan melanjutkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024.

Walaupun ramai mengalu-alukan langkah menjimatkan sekitar RM15.02 bilion, terdapat di kalangan mereka yang meluahkan kebimbangan di halaman Facebook menteri kewangan Lim Guan Eng terhadap kualiti perkhidmatan sebaik sahaja projek itu disiapkan.


Baca: Projek LRT3 diteruskan, kos dikurangkan 47 peratus


Seorang netizen, Yong Min Ken, berkata menaiki kereta api enam koc lebih selesa berbanding tiga koc seperti yang diumumkan.

"Satu set keretapi enam koc lebih selesa untuk dinaiki berbanding penuh seperti sardin seperti keretapi Kelana Jaya yang hanya ada dua koc. 

"Mesti ada jumlah keretapi yang mencukupi untuk bersedia apabila setiap keretapi lain diselenggara atau mempunyai masalah," katanya.

Yong berkata stesen kereta api tidak seharusnya direka bentuk secara mudah untuk menjimatkan kos dan perkembangan komuter di masa depan harus diambil kira kerana sebarang lanjutan atau perubahan mungkin akan menjadi lebih mahal.

"LRT3 perlu dibina dengan cara yang betul dari awal untuk memastikan orang akan menggunakannya," jelas beliau.

Turut menyatakan pendapat serupa ialah Shahiir Bahgia.

"Oleh kerana kepadatan populasi yang semakin meningkat di Lembah Klang dan Kuala Lumpur, tidak munasabah menggunakan LRT tiga koc.

"Selain itu, jika stesen LRT dibuat lebih kecil, ia akan menjadi tidak selesa dan akan meramaikan penumpang. LRT3 akan jadi seperti LRT Kelana Jaya yang tidak dapat menyokong bilangan penumpang yang banyak.

"Jangan ulangi kesilapan reka bentuk Kelana Jaya LRT," kata Shahiir.

Sementara itu, Han Ming Ong berkata: "Keretapi tiga koc mungkin tidak mencukupi untuk penumpang pada waktu puncak. Sila rujuk keretapi Kelana Jaya (yang guna) kereta api empat koc.

"Tolong jangan kurangkan saiz kereta api ke tiga koc, ia akan jadi seperti Monorel dan LRT Kelana Jaya," kata Kousuke Namihira.

Malek Saad berkata adalah bagus untuk mengurangkan kos bagi reka bentuk yang mahal bagi setiap stesen.

"Tetapi jangan potong kos pada kemudahan asas atau bilangan stesen," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS