Berita Malaysiakini

MP Cameron Highlands mohon batal petisyen calon PKR

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh memohon untuk membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan calon PKR bagi kerusi Parlimen kawasan itu, M Manogaran bagi mencabar keputusan pilihan raya yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) berkenaan.

Peguam Nik Alia Hanafi, yang mewakili Sivarraajh memberitahu pemberita, anak guamnya memfailkan permohonan untuk membatalkan petisyen itu hari ini, dan 19 Julai ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

"Mahkamah juga menetapkan 3 September hingga 20 September untuk pendengaran petisyen pilihan raya berkenaan," katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi hari ini yang turut dihadiri peguam M. Rajendrakumar, mewakili Manogaran.

Pada 4 Jun lepas, Managoran, 59, selaku pempetisyen memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Mengikut petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini menteri besar Pahang, telah memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang juga ADUN Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU11, amat terkenal dalam kalangan pengundi di kawasan itu.

Wan Rosdy juga didakwa bertanggungjawab untuk memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang sejak dahulu kurang mempercayai orang luar, katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh undian sebanyak 10,307 untuk menewaskan empat calon lain.

- Bernama