Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SJKT Kg Colombia jadi sarang tikus, perlu pindah segera
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 4:15 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kampung Columbia, Ayer Tawar yang terletak di Manjung perlu dipindahkan segera susulan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan negeri pada 5 Julai lepas yang mendapati sekolah itu menjadi tempat pembiakan tikus yang semakin serius.

Pengerusi Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A. Sivanesan berkata keadaan ini dikhuatiri mendedahkan 60 orang murid serta sepuluh orang guru di sekolah itu kepada risiko penyakit kencing tikus.

Katanya, laporan itu menemukan kesan gigitan tikus, najis dan bau air kencing tikus di sekitar kawasan sekolah selain sebanyak sepuluh lubang tikus telah dikenal pasti di ruang stor, kelas pantri dan kelas komputer di sekolah tersebut.

"Oleh itu, lokasi dan bangunan tidak sesuai sebagai sekolah memandangkan kawasan itu dikelilingi pokok kelapa sawit dan semak samun yang menjadi tempat pembiakan tikus.

“Ia dikhuatiri bilangan tikus akan terus meningkat dan sekolah ini perlu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai dengan kadar segera," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Sehubungan itu, Sivanesan berharap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil perhatian serius terhadap masalah yang membelanggu sekolah itu sejak sepuluh tahun lalu.

"Saya berharap menteri beri perhatian secepat mungkin untuk memindahkan sekolah ini dan tidak boleh tunggu sehingga sesuatu yang tidak diingini terjadi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata kes demam denggi di negeri ini mencatatkan penurunan 63.3 peratus atau 1,321 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 2 Jun lepas, berbanding 3,598 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya sepanjang tempoh itu, sejumlah tiga kes kematian dilaporkan akibat denggi berbanding enam kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, sebanyak tiga lokaliti dikesan sebagai kawasan wabak denggi yang masih aktif di negeri ini di Kampung Merawan Indah, Ipoh iaitu sebanyak 15 kes; Changkat Keruing, Manjung mencatatkan sepuluh kes serta Jalan Putra di Teluk Intan pula merekodkan tujuh kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS