Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara merupakan satu penghargaan kepada rakyat Sabah, kata Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepercayaannya melantik anak kelahiran Sabah itu sebagai Ketua Hakim Negara.

“Beliau (Malanjum) seorang yang berkelayakan memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara baharu dan kita sangat berbangga kerana Tan Sri anak kelahiran Sabah.

“Kita sangat bersyukur dan tahniah daripada rakyat Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Raya Perdana bersama agensi-agensi Islam Sabah di Wisma Muis di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Malanjum, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara baharu menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai lepas.

Malanjum menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS