Berita Malaysiakini

Video AG cakap Melayu tarik perhatian

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sejak pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bulan lalu, beliau sering menerima kritikan kerana didakwa tidak fasih berbahasa Melayu.

Ketika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapkan ke mahkamah minggu lalu, penyokongnya menganggu sidang akhbar Tommy dengan menjeritkan "Melayu, Melayu" berulang-ulang kali.

Kemudian, mereka berkata Thomas selaku Peguam Negara perlu bercakap dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kelihatan tiada rekod beliau bercakap dalam bahasa Melayu di depan umum sehinggalah hari ini.

Pengguna Facebook Shamsul Sulaiman membuat hantaran video Thomas membacakan ucapan pada majlis Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Video itu telah dikongsikan sebanyak 130 kali setakat jam 4.40 petang tadi dan ramai memberikan komen menyokong usaha Thomas bercakap dalam bahasa Melayu.

Thomas berkata beliau akan memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaan yang kurang digunakan beliau sepanjang 42 tahun perkhidmatan sebagai peguam korporat.