Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panel hakim Mahkamah Persekutuan akan dipilih melalui undian

Panel hakim bagi kes yang didengar di Mahkamah Persekutuan akan dipilih melalui undian, kata Ketua Hakim Negara baru Tan Sri Richard Malanjum.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan sebarang tohmahan mahupun unsur negatif dalam pembahagian kes serta pemilihan panel.

Ia melibatkan kes berhubung kepentingan perlembagaan dan awam, serta kes rayuan dan permohonan kebenaran merayu.

Sebelum ini, panel hakim dipilih berdasarkan lantikan ketua hakim negara.

Selain itu, katanya lagi, kes yang berkaitan kepentingan perlembagaan akan didengar panel sembilan hakim berbanding lima sebelum ini. 

Ini merupakan antara pembaharuan yang diumumnya ketika memberikan ucapan sulung selepas mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara, semalam.

"Saya akan ambil beberapa pendekatan baru yang bakal dilaksanakan dalam badan kehakiman," katanya ketika berucap di Majlis Pelantikan ketua hakim negara dan majlis angkat Sumpah Jawatan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan Sabah dan Sarawak di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kes rayuan yang berasal dari Mahkamah Sabah dan Sarawak yang dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pula akan didengar panel yang dianggotai sekurang-kurangnya seorang hakim yang berasal dari negeri itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembaharuan yang ingin diperkenalkannya meliputi tiga aspek.

"Pertama melibatkan pengurusan badan kehakiman. Konsep pengurusan bersama dan berkumpulan di mana hakim yang memegang empat jawatan tertinggi diberi kuasa dan tanggungjawab yang sama dalam soal dasar...Ini lebih berkesan dalam memberikan kuasa dan pembahagian tanggungjawab antara empat hakim kanan," katanya.

Dua lagi aspek adalah pelantikan panel mengikut undian dan penambahbaikan pengurusan dalaman dengan memperkenalkan sistem 'time-sheet', seperti yang dilaksanakan di mahkamah Sabah dan Sarawak dua tahun lalu.

“Sistem yang dilaksanakan secara berkomputer bagi tujuan menggalakkan pengurusan masa Mahkamah yang lebih berkesan di kalangan hakim-hakim dan para pegawai kehakiman,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS