Paling Popular
Terkini

Mesyuarat jemaah menteri semalam membincangkan isu berkaitan pendakwah kontroversi India Zakir Naik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata kerajaan komited untuk mengikuti kedaulatan undang-undang dan akan "bertindak sewajarnya" jika kerajaan India mengemukakan kes meyakinkan bagi menghantar pulang Zakir.

"Setakat yang saya ketahui, India mengatakan pihaknya mempunyai kes, sekarang apa yang perlu dilakukan India perlu mengemukakan kesnya.

"Dan tentulah kerajaan, apabila kes itu telah dikemukakan, kes tersebut perlu dipertimbangkan (dan kami akan) membuat keputusan sama ada untuk menghantar beliau pulang atau tidak.

"Perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet semalam. Pada saya kita mesti mengikut peruntukan undang-undang, kami perlu mematuhi kedaulatan undang-undang," kata Gobind menjawab soalan pada sidang akhbar di Shah Alam.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan India telah membuat permohonan perintah ekstradisi untuk Zakir pada Januari tahun ini. Pendakwah itu mempunyai status pemastautin tetap Malaysia.

Ketika ditanya lanjut, Gobind enggan menafikan atau mengesahkan hal itu dan hanya berkata, "anda patut periksa hal itu."

Malaysiakini sedang menghubungi kerajaan India bagi mendapatkan ulasan.

Terdahulu, Gobind melancarkan Pusat Pemprosesan Bersepadu (IPC) Pos Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS