Ketua Hakim Negara yang baharu Tan Sri Richard Malanjum mencadangkan agar pembentukan anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes di mahkamah itu dipilih menerusi undian.

Beliau berkata ini untuk mengelakkan tohmahan dan unsur negatif dalam pembahagian kes serta pemilihan panel.

Sebelum ini, pemilihan hakim-hakim panel Mahkamah Persekutuan diputuskan oleh Ketua Hakim Negara.

Pada masa ini panel hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes-kes rayuan dan permohonan semakan terdiri daripada lima hakim manakala pendengaran kebenaran merayu pula dikendalikan oleh panel tiga hakim.

Malanjum berkata pembentukan panel hakim Mahkamah Persekutuan akan berdasarkan kepada jenis kes yang dijadualkan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Pada majlis itu, Tan Sri Ahmad Maarop mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Datuk David Wong Dak Wah mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

- Bernama