Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur mohon maaf, tak sengaja 'jamu' babi pada Muslim

Penganjur sebuah acara anugerah di Melaka semalam, yang dituduh menghidangkan sajian babi kepada wartawan, menjelaskan tidak bermaksud berbuat demikian.

Setiausaha Persatuan Perlindungan dan Pembangunan Pertanian Malaysia, Chai Siong Siow menjelaskan hidangan tidak halal disediakan di meja pemberita kerana mereka tidak maklum berkaitan kehadiran wartawan beragama Islam.

"Kita sudah hantar jemputan media kepada mereka tapi tidak mendapat maklum balas akan kehadiran mereka.

“Maklum balas hanya diterima daripada media Cina seperti Nanyang, China Press dan Shin Chew Daily.

"Jadi, kami hanya sediakan meja untuk merekalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan wartawan kecewa dengan sikap penganjur dalam acara di Sekolah Pay Fong, Melaka yang didakwa menghidangkan menu babi tanpa memaklumkan perkara itu.


Baca: Utusan lapor penganjur ‘jamu’ wartawan hidangan babi


Chai bagaimanapun menjelaskan pihaknya turut menyediakan lima meja halal daripada keseluruhan 50 meja dalam acara itu.

Makanan halal dalam acara itu juga disediakan oleh jurusaji halal, katanya lagi.

Mengakui insiden itu sebagai kesilapan, beliau berkata wartawan berkaitan boleh berpindah meja ke bahagian makanan halal.

"Muslim datang sepatutnya duduk di depan yang terhidang, tak ada masalah,” katanya.

Chai bagaimanapun memohon maaf atas salah faham itu.

“Saya minta maaf,” katanya.

Lihat Komen
ADS