Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi BERSATU P Pinang dipilih jadi senator

Pengerusi BERSATU Pulau Pinang Marzuki Yahya dipilih sebagai salah seorang senator bawah kuota parti itu.

Pada PRU ke-14, beliau kalah tipis - perbezaan 81 undi - di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di tangan Datuk Shabudin Yahaya (BN).

Beliau berkata dimaklumkan secara tidak rasmi tentang pemilihannya oleh pimpinan parti.

"Saya diberitahu tentang perkara ini tetapi saya tak pasti bila kami akan mengangkat sumpah," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri di Butterworth malam tadi.

"Kita serahkan kepada perdana menteri dan pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukannya...kita tunggu saja pengumuman rasmi," katanya lagi.

Sebelum ini beliau juga memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi George Town, dan pengurusan kes ketiga ditetapkan pada 20 Julai ini.

Beliau berkata yakin kes tersebut akan "berpihak" kepadanya.

Ditanya tentang kemungkinan dilantik ke jawatan timbalan menteri, Marzuki berkata beliau belum mendengar apa-apa tentangnya dan lebih baik menunggu pengumuman dibuat.

Sementara itu, Marzuki mengakui isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang kini hangat diperkatakan memang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Semoga isu ini akan diselesaikan dengan baik kerana ia isu pendidikan, bukan perkauman," katanya sambil menyifatkan Umno dan PAS menjadikannya isu perkauman kerana mahu mendapat sokongan daripada orang Melayu.

"Ini isu pendidikan, anak bekas menteri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga belajar di Beijing, China. Jadi apa isunya," katanya.

Lihat Komen
ADS