Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki cedera disimbah asid ketika memandu
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 6:00 AM
Dikemaskini: 10:24 PM

Seorang lelaki tempatan cedera pada muka dan badan akibat disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang memandu kereta di hadapan Menara Olympia, Jalan Raja Chulan di ibunegara, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam kejadian kira-kira 6.35 petang itu, dua lelaki dipercayai menaiki motosikal berwarna biru gelap bertindak memecahkan cermin kereta mangsa berusia 47 tahun itu lalu menyimbah cecair tersebut ke arahnya.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami 30 peratus kecederaan lecur di bahagian kanan muka, kedua-dua tangan, bahagian belakang badan serta paha kanannya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai menggunakan cecair asid untuk mencuci tandas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Tung Shin di sini, untuk rawatan.

Katanya polis masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mazlan berkata pihaknya kini giat mengesan suspek dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Arizal Fiveroses Ghazali di talian 019-3463686 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi DSP M. Gunalan di talian 019-3114418.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS